ISTANBUL: Indonesia membekukan lesen operasi TikTok pada Jumaat berikutan ketidakpatuhan syarikat itu terhadap keperluan peraturan negara.
Tindakan ini diambil selepas TikTok gagal memberikan data lengkap mengenai aktiviti penstriman langsung semasa protes baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pemantauan Ruang Digital Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Alexander Sabar menyatakan ketegasan kerajaan terhadap keputusan TikTok.
“Tindakan ini mencerminkan ketegasan kerajaan terhadap keputusan TikTok yang hanya menyerahkan data tidak lengkap mengenai aktiviti TikTok Live ketika rusuhan antara 25 hingga 30 Ogos 2025,” katanya.
TikTok sebelum ini menggantung fungsi penstriman langsungnya sepanjang tempoh protes pada Ogos sebagai langkah keselamatan.
Sabar menjelaskan keputusan membekukan lesen dibuat selepas syarikat enggan mendedahkan data berkaitan maklumat trafik dan pengewangan aktiviti penstriman langsung.
Dakwaan kandungan perjudian dalam talian yang semakin meningkat di platform itu turut menjadi perhatian pihak berkuasa.
“Kami telah memanggil TikTok untuk penjelasan langsung pada 16 Sept dan menggesa mereka menyerahkan data lengkap selewat-lewatnya 23 Sept.”
“Namun, TikTok enggan berbuat demikian dengan alasan polisi serta prosedur dalaman penggunaan data,” jelas Sabar.
Beliau menegaskan permintaan kerajaan adalah berdasarkan peraturan yang mewajibkan platform memberi akses kepada pihak berkuasa terhadap sistem dan data.
Jakarta sebelum ini mengenakan denda hampir 900,000 dolar Amerika Syarikat ke atas TikTok bulan lalu.
Denda itu dikenakan kerana kelewatan TikTok melaporkan pengambilalihan pasaran dalam talian Tokopedia. – Bernama, Anadolu