KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 rakyat Malaysia anggota delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada dalam tahanan rejim Zionis sejak Khamis, telah selamat dibawa keluar dari Israel.
Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan pesawat khas membawa semua aktivis Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel menuju ke Istanbul, Turkiye pada 6.45 petang waktu Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu siaran langsung di Facebook hari ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia terlibat dalam misi GSF itu akan berada di Istanbul untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari bagi pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan daripada tindakan keras dan zalim Israel, sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
Anwar yang juga penaung misi Sumud Nusantara menegaskan bahawa kejayaan membebaskan dan membawa pulang 23 rakyat Malaysia daripada tahanan rejim Zionis ialah hasil rundingan diplomatik yang panjang.
Beliau berkata proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk melalui perbincangan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama-sama Utusan Khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Perdana Menteri berkata kejayaan itu juga ialah hasil rundingan beliau sendiri bersama dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Menurut Perdana Menteri, perancangan dan rundingan membawa pulang dan menyelamatkan semua mangsa tidak hanya terbatas pada keselamatan delegasi dari Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan beberapa negara lain antaranya termasuklah Indonesia serta Eropah.
Pada Khamis, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Selain itu, turut ditahan ialah Razali Awang yang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi catatan di Facebook berkata kesemua 23 rakyat Malaysia yang terlibat berlepas menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon.
Beliau berkata Kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul akan menguruskan kediaman semua yang terlibat untuk bermalam di Istanbul sebelum dibawa balik ke tanah air.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri dan Recep Tayyip Erdogan,” katanya – Bernama