IPOH: Perak dilanda banjir berikutan hujan lebat yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama dengan empat pusat pemindahan sementara dibuka di Taiping.
Sebanyak 202 mangsa daripada 65 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan semula pada malam tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya, PPS Sekolah Kebangsaan Simpang dan PPS SK Matang dibuka pada pukul 8.30 malam.
PPS SK Matang Gelugor pula dibuka pada pukul 10.30 malam untuk menampung mangsa banjir.
Setakat pukul 6 pagi ini, seramai 31 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya.
Mangsa di pusat ini berasal dari kawasan terjejas di Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia dan Kampung Sentosa.
Seramai 106 mangsa daripada 34 keluarga pula ditempatkan di PPS SK Simpang yang melibatkan kawasan Taman Mawar dan Taman Simpang Makmur.
Sebanyak 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Matang melibatkan Kampung Matang Jambu serta Kampung Telok Kertang.
Seramai 46 mangsa daripada 13 keluarga pula ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor yang membabitkan kawasan Taman Pengkalan Setia.
Kenyataan itu menyatakan kesemua pusat pemindahan dibuka berikutan hujan lebat dan kejadian banjir di kawasan sekitar.
Pusat pemindahan berfungsi untuk menyelamat dan menempatkan keluarga yang rumah mereka terjejas dengan limpahan air banjir. – Bernama