Bursa Malaysia dijangka tidak menentu ekoran penutupan kerajaan AS

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diramalkan terus mengalami turun naik ketara minggu hadapan sekiranya penutupan kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat masih berterusan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menyatakan setiap minggu penutupan kerajaan AS dianggarkan mengurangkan 0.1 mata peratusan daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat tahunan.

Beliau menegaskan keadaan itu meningkatkan risiko bahawa kebuntuan yang berpanjangan boleh menghakis keyakinan pelabur.

Mohd Sedek berkata tumpuan domestik akan beralih kepada Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan.

Sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, hala tuju fiskal kerajaan dijangka ditetapkan menerusi Belanjawan 2026 dengan penekanan kepada rasionalisasi subsidi.

Beliau menjangkakan penerima manfaat termasuk sektor pengguna, pelancongan dan pembinaan selaras dengan agenda pertumbuhan jangka masa sederhana kerajaan.

“Secara keseluruhan, walaupun risiko global mungkin mencetuskan ketidaktentuan, Bursa Malaysia dijangka mengalami fasa tidak banyak berubah dengan kecenderungan menurun menjelang pembentangan belanjawan.

“Aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan, terutama kerana kaunter teknologi telah mengambil kira optimisme mengenai potensi pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS,” katanya.

Mohd Sedek berkata pelabur dijangka kekal memilih dan berhati-hati dalam membuat pegangan menjelang pengumuman fiskal yang akan menetapkan nada sentimen sehingga akhir tahun.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng pula berkata prospek keseluruhan akan kekal positif selagi indeks penanda aras berada di atas paras 1,620.

Beliau menyatakan sebarang fasa tidak banyak berubah perlu dilihat sebagai jeda yang positif dengan paras 1,600 menjadi paras ketahanan penting.

“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,650 minggu hadapan,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 26.01 mata kepada 1,635.06 berbanding 1,609.05 minggu lepas.

Indeks FBM Emas melonjak 188.23 mata kepada 12,181.67 manakala Indeks FBMT 100 naik 183.92 mata kepada 11,908.96.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 145.26 mata kepada 12,193.73 dan Indeks FBM ACE menokok 146.66 mata kepada 5,347.12.

Indeks FBM 70 melonjak 239.85 mata kepada 17,090.20 sementara Indeks Perladangan naik 33.99 mata kepada 7,796.64.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.59 mata kepada 174.35 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turut melonjak 445.56 mata kepada 18,602.40.

Indeks Tenaga menambah 5.14 mata kepada 787.66 dengan jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.04 bilion unit bernilai RM14.55 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 10.07 bilion unit bernilai RM12.85 bilion berbanding minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran mencecah 4.70 bilion unit bernilai RM694.53 juta manakala dagangan Pasaran ACE bertambah kepada 3.25 bilion unit bernilai RM998.20 juta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *