BANGKOK: Polis Diraja Thailand mengesahkan penahanan blogger Australia, Murray Hunter di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 29 September lalu sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin.
Waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok menyatakan Hunter ditahan kira-kira 7.30 pagi Isnin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Yannawa.
Hunter ditahan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok bertarikh 27 Mac 2025 yang berkaitan satu kes jenayah difailkan di Balai Polis Yannawa.
Kes itu berpunca daripada aduan pada 21 Jun 2024 apabila pengadu yang menginap di Hotel Shangri-La di daerah Bang Rak, Bangkok mendapati artikel berunsur fitnah diterbitkan di laman Substack milik Hunter.
Kesalahan fitnah memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda 200,000 baht.
Artikel berkenaan didakwa memfitnah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan membuat dakwaan palsu yang menjejaskan kredibiliti serta reputasi agensi terbabit.
Siasatan mendapati Hunter menerbitkan empat artikel antara 13 hingga 29 April 2024 yang mengandungi kenyataan palsu dan tuduhan yang boleh menjejaskan imej MCMC.
Hunter dibebaskan dengan ikat jamin namun dilarang meninggalkan Thailand.
Dalam kenyataan berasingan, MCMC memaklumkan semua perkara berkaitan penahanan Hunter, potensi kesalahan serta sebarang pertuduhan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Thailand.
MCMC menegaskan pihaknya menghormati dan akan akur kepada proses serta keputusan sistem perundangan Thailand.
Agensi itu juga memaklumkan laporan polis telah dibuat di Malaysia dan Thailand pada April dan Jun 2024 berhubung penerbitan Hunter mengenai institusi Malaysia, termasuk MCMC.
MCMC turut menjelaskan bahawa Hunter menjalankan aktiviti penerbitan dari Thailand dengan kandungan boleh diakses di negara itu.
Selain itu, satu tuntutan sivil turut difailkan di Malaysia dan dokumen berkaitan telah disampaikan kepadanya di Thailand. – Bernama