KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada hujung bulan ini dapat menyumbang kepada jaminan hak rakyat Palestin dan merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Beliau berkata kunjungan Trump ke Malaysia adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Saya menantikan dan mengharapkan suatu ruang dialog dan wacana yang segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia, bersama dengan rakan-rakan, dapat menyumbang serta membentuk satu orde dunia yang adil dan damai yang berkekalan dan tentunya akan mencakup serta menjamin hak rakyat Palestin dan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah,“ kata beliau dalam satu mesej video hari ini.
Anwar turut mengalu-alukan persetujuan bersyarat Hamas terhadap cadangan pelan gencatan senjata, yang disifatkan beliau sebagai perkembangan penting yang menyalakan kembali harapan untuk menghentikan peperangan dan meredakan penderitaan orang awam di Gaza.
“Saya maklum akan kenyataan Presiden Donald Trump, khusus pada seruan agar Israel menghentikan serangan dan pengeboman supaya langkah yang kukuh dan teguh ke arah perdamaian dapat digerak dan dijelmakan,“ kata beliau.
Perdana Menteri berkata aspek terpenting pada masa ini ialah kebijaksanaan dan sikap kesabaran tinggi, terutamanya untuk menghentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
“Keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata. Walhasil, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah. Kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza. Tragedi sadis ini – yang telah menghentak nurani dunia ini – mesti segera dihentikan,“ kata beliau.
Anwar berkata negara Arab, terutama Qatar bersama-sama Turkiye dan dunia Islam khususnya, kini menggalas peranan yang penting dalam memastikan proses gencatan senjata berterusan sekali gus menghidupkan kembali prospek ke arah penyelesaian politik.
“Amerika Syarikat juga memikul tanggungjawab yang besar, khususnya dalam memberikan tekanan kepada Israel untuk tunduk dan hormati kewajiban serta mesti memberikan ruang dan peluang kepada diplomasi,“ kata beliau.
Terdahulu, Hamas dilaporkan menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan Presiden Trump.
Pelan itu antara lain turut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Selain itu, pelan berkenaan menetapkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah terbabit, yang kemudiannya akan ditadbir pihak berkuasa teknokrat – Bernama