IPOH: Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel di Pasir Puteh dekat sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Ipoh dan Chemor semalam.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 12.26 tengah hari semalam daripada pihak Telekom Malaysia mengenai kehilangan kabel sepanjang kira-kira 30 meter selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal turut mengenal pasti sebuah kenderaan Proton Iswara yang disewa suspek dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Semakan rekod juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 35 saat yang dirakam seorang individu memaparkan kegiatan individu dipercayai mencuri kabel di kawasan Pasir Puteh. – Bernama