Syarikat multinasional penting cipta pekerjaan berpendapatan tinggi – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarikat multinasional berkapasiti besar seperti Grab Holdings Inc memainkan peranan penting dalam mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata syarikat multinasional juga berperanan penting dalam menyokong pembangunan kapasiti berkaitan penggunaan kecerdasan buatan.

“Kerajaan mengalu-alukan komitmen dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini, agar kebajikan pemandu dan penunggang Grab adalah terjamin,“ katanya dalam hantaran Facebook.

Anwar menyatakan beliau menerima kunjungan hormat Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Anthony Tan serta delegasi petang tadi.

Beberapa perkara turut dibincangkan termasuk pelaksanaan subsidi petrol bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95.

Inisiatif BUDI95 memberi manfaat terus kepada pemandu e-panggilan dengan membantu mengurangkan kos operasi harian mereka.

Langkah ini bukan sahaja meringankan beban, malah memperkukuh peranan sektor e-panggilan sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *