Stadium Perak guna rumput Axonopus Putra ganti cow grass

PADANG Stadium Perak kini menggunakan rumput jenis Axonopus Putra menggantikan rumput sedia ada jenis cow grass sebagai sebahagian kerja naik taraf yang bermula Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata spesies rumput baharu itu merupakan hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia dan mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan.

“Rumput Axonopus Putra ini lebih halus, lebih rapat dan mempunyai ketahanan lebih baik serta amat sesuai dengan iklim di Malaysia.”

“Rumput jenis ini juga telah digunakan sebelum ini di Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang,“ katanya pada sidang media di Majlis Bandaraya Ipoh hari ini.

Pada 28 Mac lepas, Majlis Bandaraya Ipoh bercadang Stadium Perak akan menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand seperti mana diguna pakai untuk Stadium Darul Makmur, Pahang.

Keputusan akhir itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek teknikal walaupun pada awalnya mahu menggunakan jenis Zeon Zoysia seperti di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Ng berkata penggantian rumput itu penting kerana rumput sedia ada sering menimbulkan masalah sehingga menyebabkan beberapa perlawanan bola sepak terpaksa ditangguhkan.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan padang Stadium Perak hanya boleh diguna pakai untuk sebarang aktiviti bermula pertengahan tahun hadapan.

“Kita kena tunggu kerana rumput baharu memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan selepas ditanam untuk mencapai tahap kesesuaian sebelum sesuatu aktiviti boleh dilaksanakan,“ katanya.

Menyentuh tentang kerja naik taraf stadium itu, Ng berkata ia menelan belanja keseluruhan sebanyak 842,000 ringgit meliputi sistem perparitan baharu, kerja meratakan padang serta penanaman semula rumput sepenuhnya.

“Setakat ini semua kerja-kerja naik taraf berjalan mengikut jadual dan pihak kontraktor juga baru melepasi fasa awal pelaksanaan projek berkenaan,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *