Polis Marin perlu perkasa aset teknologi tinggi banteras jenayah

PELABUHAN KLANG: Aset Pasukan Polis Marin perlu diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pengoperasian yang tinggi khususnya dalam membanteras jenayah penyeludupan di perairan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata antara aset diperlukan ialah bot berteknologi tinggi untuk membolehkan pasukan itu menjalankan tugasan di kawasan persisiran pantai dan sungai dengan lebih berkesan.

Beliau menyatakan modus operandi penjenayah yang sentiasa berubah memerlukan kesediaan tinggi daripada Pasukan Polis Marin bagi memastikan tiada aktiviti haram terlepas daripada pengawasan.

Pasukan Polis Marin merupakan salah satu kekuatan Polis Diraja Malaysia yang menyumbang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan keselamatan.

Kejayaan pasukan ini dapat dilihat menerusi nilai rampasan melebihi 400 juta ringgit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Azmi berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap permintaan Pasukan Polis Marin untuk meningkatkan wibawa dan kompetensi mereka.

Beliau berkata perkara itu dapat membantu menghalang sebarang ketirisan berlaku ke atas pendapatan negara.

Beliau mengulas demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-78 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah di sini.

Secara keseluruhan, nilai rampasan dibuat JKDNKA telah melangkaui enam bilion ringgit dengan rampasan tertinggi melibatkan sisa elektronik berjumlah empat bilion ringgit.

Jabatan Alam Sekitar hanya mengeluarkan 156 lesen kepada syarikat tertentu untuk menguruskan sisa elektronik domestik dan bukan yang dibawa masuk dari luar negara.

Azmi berkata pihak polis telah mengambil inisiatif dan langkah yang baik untuk mengekang kemasukan e-waste ini.

Beliau menegaskan pihaknya akan memastikan undang-undang dalam negara terus dikuat kuasa, diperketat dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *