ALOR SETAR: Seorang warga emas antara lima individu yang diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas terperangkap di dalam rumah akibat banjir kilat di Kampung Machang Kudung, Pokok Sena.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.38 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena tiba kira-kira 15 minit kemudian.
Banjir kilat berlaku di lokasi kejadian akibat hujan lebat dengan lima mangsa terperangkap di dalam rumah.
Mangsa terdiri daripada seorang warga emas wanita, tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 72 tahun.
Anggota bomba telah membantu memindahkan kesemua mangsa ke rumah jiran berdekatan sebagai tempat selamat.
Pemantauan lanjut mendapati keadaan paras air telah menurun di lokasi kejadian.
Sebanyak 29 rumah di Mukim Naga dan Malau di daerah Kubang Pasu turut terlibat dengan banjir berikutan hujan lebat sejak 2 petang.
Rumah yang terjejas melibatkan Kampung Muhibbah, Kampung Paya Tok Teh, Kampung Tengah Malau dan Kampung Kemunting Baru.
Jumlah mangsa yang terlibat masih dalam bancian dengan belum ada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.
Paras air di Kampung Muhibbah, Kampung Tengah Malau dan Kampung Kemunting Baru menunjukkan trend menurun.
Paras air di Kampung Paya Tok Teh pula dilihat semakin meningkat menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu.
Penduduk akan dinasihati supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara jika keadaan semakin buruk. – Bernama