KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 3,383 notis saman daripada 11,639 kenderaan yang diperiksa dalam Ops Khas Gempur Perdagangan dari 1 hingga 30 September lepas.
Pengarah JPJ Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata sebanyak 1,960 kenderaan atau 19.4% telah dikenakan tindakan melibatkan tujuh bas dan 1,953 lori.
Beliau menegaskan tiada tindakan dikeluarkan terhadap teksi, kereta sewa atau e-hailing sepanjang operasi tersebut.
“Notis saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan teknikal, membawa muatan berlebihan dan melibatkan lain-lain kesalahan,” katanya kepada pemberita di Kompleks JPJ.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menyita sebanyak 20 kenderaan barangan yang merangkumi lapan kenderaan berat kurang daripada 7,500 kilogram dan 12 kenderaan berat melebihi 7,500 kg.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata antara alasan yang sering diberikan pemandu sepanjang operasi itu dijalankan ialah terlupa membaharui lesen atau insurans.
Beliau turut menyebut faktor kewangan syarikat yang menjejaskan kemampuan mereka untuk melangsaikan tunggakan saman.
“Lesen ini kita sudah ikut tarikh lahir, jadi sebenarnya setiap pemandu sepatutnya tahu bila perlu perbaharui,” katanya.
Beliau menambah ada juga kes pemandu atau syarikat yang sudah terlalu lama menangguhkan urusan sehingga nama mereka disenaraihitamkan.
“Perkara itu mungkin memberikan kesan kepada mereka untuk memperbaharu lesen,” jelasnya. – Bernama