ANKARA: Israel pada Jumaat menyerang Marinette, satu-satunya kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam pelayaran ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi memetik penganjur.
Dalam satu kenyataan di platform X, GSF berkata: “Askar Israel telah menaiki kapal Marinette milik #GlobalSumudFlotilla dan menawan para aktivis.”
Menurut GSF, “penstriman langsung terhenti secara tiba-tiba selepas seorang askar memecahkan kamera semasa menceroboh naik kapal itu.”
Marinette yang berdaftar di Poland dengan dilaporkan mempunyai enam kru merupakan kapal terakhir yang masih beroperasi daripada armada yang terdiri daripada 44 buah kapal itu.
Tentera laut Israel pada Khamis menyerang dan merampas kapal-kapal GSF serta menahan lebih 450 aktivis dari lebih 50 negara. Flotila itu dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan Israel ke atas wilayah berkenaan.
Israel telah mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang didiami oleh hampir 2.4 juta orang, selama hampir 18 tahun.
Sejak Oktober 2023, serangan bom Israel telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di wilayah itu dan menjadikannya tidak dapat didiami – BERNAMA-ANADOLU