30,000 usahawan seluruh negara nikmati pembiayaan RM816 juta TEKUN

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyalurkan RM816 juta pembiayaan kepada lebih 30,000 usahawan di seluruh negara dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, RM95 juta disalurkan kepada 4,150 usahawan di Sabah.

Beliau berkata bagi daerah Kota Belud sahaja, sebanyak RM9.1 juta pembiayaan disalurkan kepada 287 usahawan dalam tempoh yang sama tahun ini.

“Saya bangga kerana Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), yang saya perkenalkan pada 2023 khusus untuk usahawan tamu di Sabah dan Sarawak mencatatkan prestasi yang amat memberangsangkan.

“Skim ini mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman yang sangat cemerlang, dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) hanya 0.5 peratus.

“Ini menunjukkan kebertanggungjawaban usahawan kita dalam mengurus pembiayaan dengan baik,” katanya dalam kenyataan selepas menutup Taklimat Pembiayaan Keusahawanan oleh TEKUN Nasional dan agensi-agensi KUSKOP kawasan Taginambur di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abdul Ghani.

Ewon berkata beliau telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan keperluan dan cadangan supaya program-program khusus untuk masyarakat dan usahawan di Sabah serta Sarawak dapat diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada pembangunan ekonomi negara – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *