KUALA LUMPUR: Sebanyak 118 khemah baharu telah dipasang bermula malam ini sempena penganjuran Bazar Deepavali di Brickfields bagi menggantikan khemah yang roboh akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata berlaku salah faham berhubung isu pemberian khemah kepada para peniaga namun ia sudah diselesaikan dengan penggantian khemah yang lebih besar dan kukuh.
Beliau menegaskan jumlah khemah tetap sama tanpa penambahan dengan khemah roboh bersaiz 8×8 kaki digantikan khemah bersaiz 10×10 kaki.
Dr Zaliha berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi sesi 2025-2028.
Mengulas dakwaan terdapat peniaga tidak berpuas hati dengan sistem cabutan undian tapak bazar beliau berkata ia dilaksanakan secara lebih telus.
Beliau menjelaskan pelaksanaan sistem itu dibuat sebaik mungkin mengekalkan pemberian seperti Bazaar Ramadan dan Aidilfitri dengan sedikit pengubahsuaian bagi keselesaan peniaga.
Semalam peniaga di bazar itu mengkritik khemah sedia ada yang didakwa terlalu kecil tidak berkualiti dan perlu diganti saiz lebih besar.
Perkara itu turut mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkan khemah berkenaan tidak kukuh dan tidak sesuai di jalan utama yang sesak trafik. – Bernama