SEPANG: Tentera laut Israel telah menceroboh naik dua kapal misi konvoi Global Sumud Flotilla iaitu Alma dan Sirius pada 9.44 malam waktu Gaza.
Kapal Alma membawa tiga aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza iaitu Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil.
Kapal Sirius pula membawa Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi.
Pusat Kawalan Sumud Nusantara telah berkongsi maklumat bahawa terdapat sembilan rakyat Malaysia yang berada di atas empat kapal misi GSF gagal dihubungi.
Dua lagi aktivis Malaysia ialah Zizi Kirana di Kapal Huga dan Ardell di Kapal Mikeno.
SNCC memaklumkan tindakan rejim Zionis memintas Kapal Alma disahkan secara visual oleh Kapal Morgana.
Bagi Kapal Sirius, isyarat kecemasan atau mayday serta pengesahan visual diterima daripada Kapal Grande Blue.
Bagaimanapun, tiada isyarat SOS diterima daripada kedua-dua kapal yang diceroboh.
Tentera laut Israel dipercayai menggunakan radar jammer untuk menyekat komunikasi konvoi berkenaan.
Setakat 2.45 pagi waktu Malaysia, sistem tracker Sumud Nusantara menunjukkan konvoi pelayaran itu berada kira-kira 66.6 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza.
Lokasi Zon Merah R3 merupakan lokasi di mana Kapal Handala dirampas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Kejadian Handala melibatkan 21 aktivis dari pelbagai negara pada 27 Julai lepas.
Di zon sama, Kapal Mavi Marmara yang juga dalam misi kemanusiaan ke Gaza telah diserang oleh rejim Zionis pada 31 Mei 2010. – Bernama