Sultanah Kelantan berkenan rasmi Pesta Flora Negeri 2025

KOTA BHARU: Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah berkenan berangkat merasmikan Pesta Flora Negeri Kelantan 2025 di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 10.08 pagi disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Usai perasmian, baginda berkenan melawat pameran landskap dan tapak pertandingan yang disertai majlis daerah serta majlis perbandaran dari seluruh negeri sebelum berangkat pulang pada 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Tuan Mohd Saripudin berkata pesta flora berkenaan diadakan bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-66.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan lebih 30,000 pengunjung hadir membanjiri pesta yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

“Pada tahun ini terdapat penambahbaikan dengan penyertaan 60 usahawan pelbagai sektor berbanding hanya 30 usahawan tahun lepas, khususnya daripada Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Pesta akan berlangsung dari 10 pagi hingga 11 malam setiap hari. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk pembinaan terrarium, pertunjukan gasing terbang dan kertok kelapa,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata dari segi flora pula, lebih 300 spesies pokok bunga dipamerkan termasuk orkid, bunga kertas, mawar dan bunga telang, dengan 200 daripadanya melibatkan orkid.

“Oleh itu, kita menyeru orang ramai agar mengambil peluang berkunjung ke pesta flora ini,” katanya – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *