KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia menyertai Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini bagi menyerahkan memorandum tiga tuntutan utama berhubung isu Palestin.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata memorandum itu menuntut pembebasan segera semua sukarelawan misi Global Sumud Flotilla tanpa sebarang tindakan.
Beliau mendesak Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya ke atas Israel untuk membenarkan kapal bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.
Tuntutan ketiga meminta Presiden Amerika Syarikat memastikan Perdana Menteri Israel tidak merampas proses perdamaian yang sedang dijalankan.
Pihak kedutaan enggan menghantar wakil menerima memorandum atas faktor keselamatan tetapi memberi jaminan ia akan diambil kemudian.
Muhammad Kamil menyatakan kehadiran lebih 5,000 peserta membuktikan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Beliau menegaskan isu Palestin melangkaui kepentingan politik kepartian dan merupakan soal keadilan serta kemanusiaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dengan menghubungi pemimpin dunia bagi menjamin keselamatan sukarelawan.
Himpunan itu akan diteruskan esok selepas solat Jumaat di lokasi sama dengan jangkaan kehadiran lebih ramai peserta.
Orang ramai daripada pelbagai lapisan umur mula berkumpul pada pukul 3 petang sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Laungan takbir dan ‘hancur Israel’ bergema dalam himpunan sebagai tanda protes terhadap sekatan misi Global Sumud Flotilla.
Anggota polis melakukan kawalan berhampiran kedutaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla disertai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia dengan membawa bekalan bantuan asas.
Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara memaklumkan 15 sukarelawan kemanusiaan rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel. – Bernama