Rakyat tidak lepas peluang menyaksikan perarakan pernikahan Raja Muda Selangor

KLANG: Rakyat jelata khususnya anak kelahiran Selangor hari ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan pasangannya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mula berkumpul di sepanjang Jalan Istana bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju Istana Alam Shah seawal 5 pagi bagi mendapatkan tempat terbaik untuk melihat secara dekat istiadat bersejarah itu.

Lebih menarik, kebanyakan mereka mengenakan pakaian tradisional dan batik sebagai menghormati istiadat sambil melaungkan Daulat Tuanku serta membawa sepanduk tertera ucapan tahniah dan selamat pengantin baharu.

Upacara bermula dengan Tengku Amir Shah yang berseri mengenakan busana putih dan bersongkok diarak sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1.

Baginda diiringi kerabat diraja dan orang besar istana diikuti pasukan Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dengan dimeriahkan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor.

Bagi Uda Angah, 50, yang hadir bersama-sama 40 penduduk Kampung Batu 12, Gombak berkata sangat teruja apabila dimaklumkan Raja Muda Selangor yang sering melawat kampung itu untuk bertanya khabar serta menghulurkan pelbagai bantuan, akan menamatkan zaman bujang.

Wanita Orang Asli suku Temiar itu berkata bagi membalas jasa baik baginda terhadap penduduk kampung, mereka sepakat untuk hadir dengan mengenakan pakaian tradisi bagi sama-sama meraikan hari bahagia Tengku Amir Shah.

“Malah, ini kali pertama kami menjejakkan kaki di Bandaraya Diraja Klang. Perarakan Raja Muda Selangor dengan berlatarbelakangkan bangunan lama memberikan pemandangan dan suasana yang unik dan menarik… memang berbaloi kami menunggu sejak subuh,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, A Navin, 28, berkata walaupun tiba di lokasi kira-kira 5.30 pagi bersama-sama rombongan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), kebanyakan tempat berhampiran jalan tersebut telah dipenuhi orang.

“Tetapi kami sempat mencari tempat paling strategik dengan harapan dapat berinteraksi serta bergambar dengan baginda. Sangat menyeronokkan kerana peluang seperti ini jarang diperoleh,” katanya.

Adli Zaim Azham, 34, pula berkata pengalaman terlibat dengan program berkaitan belia yang dinaungi Tengku Amir Shah membuatkan dia dan 40 penghuni serta petugas Rumah Sahabat Hulu Langat hadir memeriahkan perarakan sempena istiadat pernikahan diraja itu.

“Saya boleh dengar ucapan tahniah tidak putus-putus dilaungkan rakyat sepanjang perarakan. Kami merafak sembah tahniah kepada Raja Muda Selangor dan isteri serta mendoakan kebahagiaan baginda berdua dan kesejahteraan negeri di bawah pemerintahan Sultan Selangor,” katanya.

Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung secara tertutup di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 10.08 pagi.

Istiadat pernikahan disaksikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin selain turut dihadiri kerabat diraja serta keluarga pengantin diraja perempuan dan sahabat handai kedua-dua pihak – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *