SHAH ALAM: Polis sedang menunggu laporan penuh pakar teknikal sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung kemalangan mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh mangsa di Plaza Tol Bukit Kajang baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kes itu memerlukan penelitian yang terperinci kerana melibatkan siasatan banyak agensi dan bersifat teknikal.
Beliau menjelaskan kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan lanjut.
“Pada peringkat ini perkara yang telah dibangkitkan ialah arahan untuk mendapatkan laporan pakar terlebih dahulu sebelum arahan khusus diberikan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Shazeli berkata suspek warga tempatan berusia 42 tahun yang juga pemandu lori terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Keterangan semua pihak yang berkepentingan telah diambil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam kejadian pada 10.50 pagi 27 September lepas, seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan dilaporkan maut.
Tujuh lagi mangsa cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori yang mengalami masalah brek.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan besi skrap dari arah Semenyih ke Putrajaya itu mengalami masalah brek.
Pemandu lori gagal mengawal kenderaan seterusnya melanggar tiga kenderaan lain yang menuju lorong di plaza tol terbabit. – Bernama