Pelajar jatuh asrama Sabak Bernam dibenar keluar hospital

SHAH ALAM: Pelajar yang jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam baru-baru ini telah dibenarkan keluar dari hospital pada 20 September lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya masih belum merekodkan keterangan penuh pelajar terbabit bagi memberi ruang kepada proses pemulihan.

Beliau menyatakan pelajar itu kini berada di rumah keluarganya di Sabak Bernam dan proses pemulihan semakin positif.

“Mangsa sudah boleh berjalan dan bercakap tetapi tidak begitu lancar selain pemakanannya masih tidak teratur,“ katanya.

Shazeli menjelaskan keterangan penuh belum diambil kerana keadaan mental mangsa belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan di kepala.

“Kita ambil kaedah temu bual dahulu untuk tidak memberikan tekanan kepada pelajar itu,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sedang menunggu maklum balas bagi tindakan susulan.

Sebelum ini, Shazeli dilaporkan berkata polis mula memperoleh petunjuk yang boleh merungkai punca insiden tersebut.

Pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum sebarang rumusan dibuat.

Media sebelum ini melaporkan lebih 12 saksi sudah dirakam keterangan termasuk pelajar serta kakitangan sekolah.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lepas, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah menengah di Sabak Bernam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *