IPOH: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Desa Lang Indah di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 pagi daripada seorang lelaki.
Lelaki tersebut memaklumkan terdapat individu tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.
Pihak polis mendapati kedua-dua mangsa iaitu Ooi Kock Hooi dan isterinya Wong Pow Choo masing-masing berusia 78 tahun sudah tidak bernyawa.
Siasatan awal mendapati pasangan itu tinggal bersama seorang cucu yang tidak pulang sejak 24 September.
Cucu berkenaan memaklumkan kedua-duanya dalam keadaan baik sebelum ini kerana tinggal di asrama.
Kedua-duanya ditemukan dalam bilik rumah dan mangsa wanita difahamkan menghidap penyakit parkinson sejak lima tahun lepas.
Mangsa wanita tersebut dijaga oleh suaminya sebelum kejadian.
Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur pecah masuk atau kesan pergelutan.
Rumah teres dua tingkat itu juga tidak menunjukkan unsur jenayah lain.
Kematian pasangan itu disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 9.45 pagi.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut oleh pihak hospital. – Bernama