KUALA LUMPUR: Modul Latihan Memerangi Berita Palsu dijangka diterima pakai sebagai sebahagian daripada Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akhir bulan ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata modul berkenaan dibangunkan pada Seminar on Developing Training Module for Combating Fake News in ASEAN 2025 yang sedang berlangsung di sini.
Beliau menyatakan modul ini dijangka mampu membantu negara anggota ASEAN dalam menangani berita palsu, maklumat salah dan maklumat mengelirukan yang semakin berleluasa.
“Insya-Allah, kita akan menerima pakai modul ini menerusi Deklarasi Kuala Lumpur yang akan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat dalam tempoh 24 hari akan datang,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar berkenaan.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata seminar dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal media ASEAN mengenai teknik terkini memerangi berita palsu.
Dalam ucaptamanya, beliau berkata semasa pandemik COVID-19, berita palsu telah memberi kesan buruk terhadap komuniti.
Fahmi menegaskan dalam keadaan konflik geopolitik di rantau ini, maklumat digunakan sebagai senjata yang sering menjadikan orang awam menjadi mangsa tidak langsung.
“Hari ini kita berdepan dengan apa yang boleh kita gelar sebagai infodemik,“ katanya.
Beliau menekankan ASEAN telah menyaksikan bagaimana penyebaran berita palsu boleh memberi kesan yang sangat melemahkan.
Fahmi berkata Malaysia mengambil langkah proaktif dengan memanggil platform media sosial termasuk TikTok untuk menangani isu berita palsu.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai negara berdaulat dengan undang-undang yang jelas tidak boleh membenarkan penyebaran berita palsu melalui platform media sosial.
Fahmi turut menyelar keengganan platform media sosial untuk mengambil tindakan lebih tegas dalam memerangi jenayah dalam talian termasuk deepfake, penipuan dan fraud.
Modul berkenaan dibangunkan berasaskan lima aspek utama iaitu Memahami Salah Maklumat Moden, Salah Maklumat Dipacu AI dan Deepfake, Semakan Fakta dan Pengesahan Digital, Kerangka Undang-undang dan Etika di ASEAN serta Nilai dan Etika.
Seminar itu dianjurkan oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak dengan kerjasama Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik. – Bernama