PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 550,000 batang rokok putih tidak bercukai.
Operasi itu turut menahan sebuah bot fiber tidak berdaftar dengan keseluruhan anggaran nilai rampasan mencecah RM400,000 di perairan Kuala Kemasin, Bachok.
Pengarah Maritim Kelantan Kapten Erwan Shah Soahdi menyatakan tangkapan itu hasil maklumat risikan dan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Tiris.
Beliau berkata anggota penguat kuasa berjaya mengesan sebuah bot bergerak mencurigakan menuju ke arah muara Kuala Kemasin kira-kira jam 3 pagi.
“Faktor keadaan gelap menyukarkan pengesanan awal oleh aset maritim yang berada lebih kurang satu batu nautika dari lokasi,” katanya.
Erwan Shah memberitahu tiada individu berada di kawasan penemuan ketika bot berjaya ditahan.
“Suspek dipercayai melarikan diri sebelum kehadiran pihak berkuasa,” ujarnya dalam taklimat media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan.
Pemeriksaan lanjut menemui 55 bungkusan plastik lut sinar mengandungi rokok putih yang disembunyikan dalam bot fiber hitam.
Bot tersebut dipercayai digunakan untuk membawa masuk barangan tidak bercukai secara haram ke Malaysia.
Kesemua barang rampasan termasuk bot telah dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tidak bercukai.
Siasatan turut dijalankan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana memiliki bot tidak berdaftar. – Bernama