KUALA LUMPUR: Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kru yang berada di atas Global Sumud Flotila termasuk rakyat Malaysia serta kapal-kapal mereka.
Wisma Putra turut menuntut penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
Seramai 12 rakyat Malaysia dilaporkan telah ditahan oleh tentera Israel dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara.
Mereka terdiri daripada penyanyi Heliza Helmi, adiknya Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli, Danish Nazran Murad, penyanyi Zizi Kirana, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli.
Sumud Nusantara ialah konvoi rakyat dari Malaysia bersama sembilan negara lain yang bertujuan memecahkan sekatan Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan.
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap misi aman berkenaan.
Tindakan tanpa provokasi ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang maritim dan kemanusiaan antarabangsa.
Wisma Putra menegaskan misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati masyarakat antarabangsa.
Malaysia menyeru Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel.
Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
Malaysia kekal teguh menyokong semua usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas dan mengugut Global Sumud Flotila. – Bernama