KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengambil beberapa langkah melalui saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra sedang menyelaras usaha pembebasan sukarelawan dan aktivis misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau mengecam tindakan rejim Zionis yang memintas serta menahan peserta Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
“Pelanggaran undang-undang antarabangsa yang sengaja ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya selepas merasmikan Seminar on Developing Training Module for Combating Fake News in ASEAN.
Fahmi menambah kerajaan akan menyatakan bantahan rasmi setelah penyelarasan antara kementerian selesai.
Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Turut terbabit ialah Nurfarahin Romli, Danish Nazran Murad, penyanyi Zizi Kirana, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal misi GSF.
Beliau menegaskan serangan itu menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. – Bernama