BACHOK: Jenazah Muhammad Ammar Muhammad Badrul yang meninggal dunia selepas cedera parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat.
Allahyarham disemadikan pada 10.34 malam dengan diiringi lebih 100 ahli keluarga, sanak-saudara dan penduduk setempat.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian sebelum disolatkan di rumah bapa saudaranya.
Bapanya Muhammad Badrul Remli dilihat memangku jenazah anak sulungnya berusia tujuh tahun itu sebaik tiba di tanah perkuburan.
Ibunya Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman turut hadir mengiringi pengebumian anak mereka.
Sepupu arwah Amirul Nizam Saiful Bahari berkata Allahyarham pernah meluahkan hasrat untuk tinggal bersama ibunya di Terengganu beberapa minggu lepas.
“Dia ada beritahu mahu ikut ibunya tinggal di Terengganu dan bersekolah di sana tapi tak sempat,” katanya kepada pemberita.
Amirul Nizam menyifatkan Allahyarham seorang kanak-kanak yang baik, tidak agresif dan disenangi ramai.
Muhammad Ammar disahkan meninggal dunia pada 3.02 petang di HPUSM selepas seminggu bertarung nyawa.
Pada Khamis lepas, media melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul hingga parah.
Lelaki tersebut kemudian ditemukan mati tergantung di sebatang pokok berhampiran Pantai Melawi.
Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara mangsa untuk membantu siasatan. – Bernama