GSF: Semua peserta ditahan, termasuk rakyat Malaysia diyakini selamat – KP SNCC

SEPANG: Kesemua peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel diyakini berada dalam keadaan selamat.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pada ketika ini kesemuanya ditahan di atas kapal masing-masing.

“SNCC mengesahkan bahawa pihak tentera rejim Israel telah mengarahkan kapal menukar laluan dari Gaza mengikut arahan radio ke lokasi yang belum disahkan.

“… kami yakin semua delegasi kita diperlakukan dengan baik kerana apa saja maklumat yang kita terima adalah maklumat langsung daripada delegasi Malaysia di atas kapal dan juga delegasi bukan Malaysia yang kita hubungi,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata setakat 10.44 pagi (waktu Malaysia) sejumlah 14 daripada 44 kapal flotila telah dipintas dan 201 daripada 497 orang peserta, termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan.

Rakyat Malaysia yang disahkan ditahan, katanya ialah Muhammad Haikal Abdullah, Muhammad Muaz Zainal Abiddin, Mohammad Zulfadhli Khiruddin dan Mohd Rusydi Ramli yang berada di kapal Sirius; Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman, IIylia Balqis Suhaimi dan Sul Aidil Sudi (Alma) serta Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana (Huga).

Selain itu, Danish Nazran Murad dan Nurfarahin Romli atau Farah Lee (Grande Blu) serta Nur Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (Hio).

Kapal lain yang turut dipintas iaitu kapal Adara, Spectre, Deir Yassin Mali, Yulara, Aurora, Otaria, Morgana, Seulle, dan Mohammad Bhar tidak membawa rakyat Malaysia.

Sani Araby berkata dua rakyat Malaysia gagal dihubungi sejak intimidasi bermula iaitu Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana di atas kapal Mikeno dan Razali Awang (Inana).

Mengulas lanjut, beliau berkata SNCC mendapat laporan sebanyak kira-kira 10 kapal tentera Israel dilaporkan melakukan intimidasi terhadap kapal misi GSF sejak 1.20 pagi tadi ketika flotilla itu berada di perairan antarabangsa iaitu 80 batu nautika dari Gaza.

“SNCC mengesahkan berlaku provokasi tentera rejim dengan menggunakan meriam air selain mengganggu dan menyekat semua akses komunikasi termasuk kamera litar tertutup (CCTV) serta siaran radio,“ katanya.

Sani Araby berkata pasukan peguam Global Sumud Flotilla (GSF), yang melibatkan rangkaian peguam daripada 45 negara, kini berada dalam keadaan siap siaga berikutan perkembangan tersebut.

“Sekretariat GSF melantik The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,“ katanya.

Sani Araby menyeru rakyat Malaysia untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa tersebut dengan mendapatkan fakta yang sahih.

Sebarang maklumat yang tidak sahih, katanya hanya memenangkan propaganda pihak Zionis dan akan membina naratif salah.

Beliau berkata bermula hari ini SNCC akan mengadakan sidang media sebanyak tiga kali sehari iaitu pada 10 pagi, 3 petang dan 9 malam.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *