Anwar Ibrahim usaha bebaskan sukarelawan GSF ditahan Israel

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau dan pasukannya sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk melalui saluran diplomatik untuk memastikan pembebasan segera sukarelawan dan aktivis Global Sumud Flotilla.

Perdana Menteri berkata perkembangan mengenai proses pembebasan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau mengucapkan semoga ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan terus diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi detik mencabar ini.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,“ katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri turut berkongsi video perbualan beliau dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Perbualan tersebut antaranya memberikan laporan terkini berhubung misi kemanusiaan itu.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla menuju Gaza.

Sehingga 7.50 pagi waktu Malaysia, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3.

Zon merah R3 terletak kira-kira 100 batu nautika dari Gaza dan insiden penahanan berlaku malam tadi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *