10 daerah di Malaysia muncul sebagai daerah menua baharu pada 2025

PUTRAJAYA: Sepuluh daerah di Malaysia akan muncul sebagai daerah menua baharu pada tahun 2025 apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus.

Daerah-daerah tersebut ialah Seremban, Jerantut, Kuantan, Kluang, Pontian, Alor Gajah, Bachok, Seberang Perai Selatan, Subis dan Keningau.

Kesemua daerah di Utara Malaysia kini diklasifikasikan sebagai daerah menua berikutan perkembangan ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daerah Petaling mencatatkan bilangan penduduk tertinggi pada 2025 dengan 2.4 juta orang.

Daerah Johor Bahru mencatat 1.8 juta penduduk manakala Hulu Langat merekodkan 1.5 juta penduduk untuk tahun yang sama.

Kecil Lojing mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi dengan 3.6 peratus diikuti Marang (1.6 peratus) dan Kemaman (1.4 peratus).

Bukit Mabong merekodkan jumlah penduduk terendah dengan 10,700 orang diikuti Song (10,400) dan Tanjung Manis (7,900).

Tiga daerah di Kelantan mencatatkan peratusan penduduk muda tertinggi iaitu Gua Musang (32.4 peratus), Kecil Lojing (31.9 peratus) dan Tumpat (31.6 peratus).

Sebauh mencatatkan peratusan penduduk umur bekerja tertinggi dengan 80 peratus diikuti Belaga (78.8 peratus) dan Kinabatangan (78.4 peratus).

Lubok Antu merekodkan peratusan penduduk umur tua tertinggi dengan 15.7 peratus penduduk berumur 65 tahun dan ke atas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan tiga kategori penuaan berdasarkan peratusan penduduk 65 tahun ke atas.

Masyarakat menua merujuk kepada penduduk 65 tahun ke atas mencecah tujuh peratus manakala masyarakat tua (14 peratus) dan masyarakat sangat tua (20 peratus).

Dasar Warga Emas Negara pula mengklasifikasikan penuaan apabila penduduk 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Setiu merekodkan komposisi bumiputera tertinggi dengan 99.8 peratus diikuti Nabawan (99.6 peratus) dan Hulu Terengganu (99.4 peratus).

Daerah Timur Laut mencatatkan komposisi Cina tertinggi dengan 63.5 peratus diikuti Sibu (48.0 peratus) dan Kampar (47.7 peratus).

Bagan Datuk merekodkan komposisi India tertinggi dengan 23.1 peratus diikuti Klang (18.6 peratus) dan Port Dickson (18.2 peratus). – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *