KUALA LUMPUR: Wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini secara rasmi menjadi harta kerajaan.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin memerintahkan wang itu dilucut hak kepada kerajaan selepas tiada pihak ketiga hadir untuk menuntut harta tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua responden tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.
“Mahkamah mendapati tiada sebarang tuntutan dibuat oleh pihak ketiga terhadap harta-harta ini,“ katanya semasa prosiding sebutan kes itu.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan SPRM untuk harta yang disenaraikan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.
Pada prosiding hari ini, Mahadi menyatakan mahkamah telah merekodkan pada 8 September lepas bahawa kedua-dua responden tidak berhasrat mencabar permohonan SPRM.
“Mahkamah telah memberi kebenaran untuk menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan pihak ketiga dan warta ini telah disiarkan pada 22 September lepas,“ katanya.
SPRM kemudian memohon supaya harta bernilai lebih RM169 juta itu dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus telah menghantar surat pada 28 Ogos lepas menyatakan pendirian tidak mencabar permohonan lucut hak itu.
SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri pada 7 Julai lepas.
Wang tersebut disita daripada Mohammad Anuar dan meliputi pelbagai mata wang asing termasuk RM14,772,150 serta SG$6,132,350.
Permohonan dibuat setelah SPRM berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri.
Wang tersebut berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil untuk dirakam percakapan berkaitan pengisytiharan harta kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’.
Siasatan ini berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu. – Bernama