PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa kebakaran rumah panjang Austin Ikew di Song, Sarawak.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut disampaikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Kebakaran rumah panjang 29 pintu tersebut melibatkan 76 mangsa daripada 20 keluarga dan semua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Perdana Menteri telah meminta supaya bantuan disegerakan kepada semua mangsa kata Fahmi pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Fahmi berkata Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) yang dinobatkan pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Kejayaan itu diraih menerusi projek inovatif HELPIE iaitu aplikasi mudah alih yang dibangunkan pada 2023 bagi meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap kesihatan mental murid.
Ini telah sekali gus mengharumkan nama negara di pentas pendidikan dunia dan Jemaah Menteri amat mengalu-alukan dan berbangga di atas kejayaan ini kata Fahmi.
Selain itu Fahmi berkata Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan sama buat Kementerian Pengangkutan kerana berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa selama tujuh penggal berturut-turut sejak tahun 2007. – Bernama