Pesara wanita di Miri rugi RM2.24 juta ditipu sindiket panggilan

MIRI: Seorang pesara swasta berusia 66 tahun di Miri mengalami kerugian melebihi RM2.24 juta setelah menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan yang berpura-pura sebagai pegawai Touch ‘n Go dan polis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan mangsa wanita tempatan itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya wakil Touch ‘n Go.

“Pemanggil tersebut menuduh mangsa terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pegawai palsu itu kemudian mengarahkan mangsa untuk mengeluarkan semua simpanannya termasuk dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan alasan untuk tujuan siasatan.

Mangsa yang mempercayai penipuan tersebut telah menyerahkan wang berjumlah RM2,244,404 melalui pelbagai kaedah transaksi.

“Wang tersebut diserahkan melalui pindahan bank di kaunter, transaksi dalam talian dan juga serahan tunai terus kepada seorang lelaki tidak dikenali di lokasi sunyi,” jelas Mohd Farhan.

Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas melakukan semakan dan pengesahan sendiri mengenai status siasatan tersebut.

Beliau kemudian tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *