Pemilik perniagaan didakwa miliki 15,483 kg minyak masak tanpa lesen

KOTA BHARU: Seorang pemilik perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 15,483 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen sah tiga tahun lepas.

Pengakuan Ahmad Nizamuddin Setapa yang berusia 28 tahun selaku Orang Kena Saman direkodkan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Ahmad Nizamuddin didakwa memiliki 7,135 kilogram minyak masak paket satu kilogram cap Belanga di sebuah premis di Kampung Nibong, Beris, Bachok pada 4.40 petang 22 November 2022.

Beliau turut didakwa memiliki 8,348 kilogram minyak masak paket cap Zhalily di hadapan Balai Polis Kota Bharu pada 9.15 malam 24 November tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama.

Peruntukan hukuman bagi kesalahan tersebut ialah denda maksimum satu juta ringgit atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa Muhammadi Iman Masjuri.

OKS diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar yang memohon jaminan 20,000 ringgit untuk setiap pertuduhan dikurangkan.

Alasan diberikan ialah OKS menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan jaminan 15,000 ringgit dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertentu.

Syarat tambahan tersebut termasuk melapor diri di pejabat KPDN Kelantan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober untuk sebutan semula kes tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *