KUALA LUMPUR: Pemasangan pagar automatik di pintu masuk negara di bawah seliaan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia akan dimulakan pada suku kedua tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan teknologi itu dapat meminimumkan urusan fizikal di kaunter pintu masuk negara.
Beliau menegaskan langkah itu akan melancarkan proses dan membantu menangani isu integriti.
“Langkah itu merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh kawalan sempadan, sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan dan mengurus isu pelarian di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 8 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri merancang memasang 635 pagar automatik di 123 pintu masuk di bawah AKPS.
Saifuddin Nasution menekankan integriti adalah aspek paling penting yang tidak boleh dikompromi dalam usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata agensi penguatkuasaan di bawah KDN bertanggungjawab mengawal kawasan perairan negara seluas 600,000 kilometer persegi.
Mereka berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah, senjata api, minyak masak, diesel dan petrol.
Ancaman lain termasuk kegiatan lanun, kemasukan pendatang tanpa izin serta pelarian.
“Rantau kita adalah hotspot untuk dadah sintetik dan 80 peratus daripadanya masuk melalui jalan laut,” katanya.
Beliau menegaskan mereka tidak boleh terus melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang lebih baik.
“Oleh itu, kita perlu menerima pakai teknologi,” katanya.
Turut sama dalam forum itu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Datuk Ahmad Ramdzan Daud serta wakil Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM Prof Dr Datuk Abdul Rahman Embong. – Bernama