PUTRAJAYA: Sebanyak 77 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan ke Filipina esok dalam misi bantuan kemanusiaan susulan bencana yang melanda negara itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan itu dijangka bertolak ke lokasi bencana pada 9 pagi Khamis dengan kelengkapan lengkap.
Pasukan tersebut dilengkapi dengan peralatan Urban Search and Rescue (USAR), sistem komunikasi, kemudahan perubatan kecemasan, Unit Anjing Pengesan (K9) dan kenderaan logistik.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menyatakan Malaysia telah meluluskan atur gerak Pasukan SMART dalam konfigurasi penuh sebagai kesiapsiagaan bantuan.
Beliau melihat langkah ini dapat menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera.
Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 147 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter melanda perairan wilayah Cebu di Filipina pada malam Selasa.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Filipina pada Rabu memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat.
Ahmad Zahid turut merakamkan rasa simpati terhadap rakyat Filipina berikutan gempa bumi itu yang turut mencederakan ratusan mangsa.
Laporan awal menunjukkan kerosakan infrastruktur yang amat serius termasuk runtuhan separa dan kerosakan pada bangunan kediaman serta komersial.
Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan, sebuah struktur bersejarah berusia ratusan tahun turut mengalami keruntuhan separa.
Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain turut rosak teruk.
Anggaran awal nilai kerosakan keseluruhan mencecah 45.7 billion dolar Amerika.
Ahmad Zahid berharap setiap usaha mencari dan menyelamat dipermudah serta setiap mangsa yang terjejas mendapat pembelaan.
Beliau turut mendoakan negara Filipina kembali pulih dan membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi.
Pada Mac 2025, Malaysia turut menghantar 50 anggota dan pegawai SMART ke Naypyidaw, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu. – Bernama