Kapal misi GSF Gaza dijangka masuk zon merah 9 malam ini

PUTRAJAYA: Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang belayar di perairan antarabangsa dijangka memasuki zon merah R3 pada 9 malam ini waktu Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyatakan zon merah R3 terletak kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.

Beliau berkata laporan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan flotilla itu kini berada di zon kuning.

Flotilla tersebut berdepan situasi tegang pada 8.45 pagi tadi waktu Malaysia apabila dihampiri kapal dipercayai milik rejim zionis Israel.

“Bot-bot dalam GSF dijangka memasuki zon merah dalam tempoh beberapa jam dari sekarang,“ katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi menambah keberadaan kapal yang diyakini milik rejim zionis Israel ini membimbangkan.

Beliau juga berkata sekitar 10 unit dron turut dikesan berlegar di kawasan berkenaan.

Setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal terhadap flotilla tersebut.

Delegasi flotilla kini dalam keadaan berjaga-jaga dengan persediaan penuh.

Fahmi berkata sekiranya bot-bot mereka dipintas serta terputus hubungan, beberapa langkah telah disiapkan.

Langkah-langkah tersebut akan diaktifkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *