KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya pada Khamis lepas telah disahkan meninggal dunia pada 3.02 petang hari ini selepas seminggu bertarung nyawa.
Mangsa Muhammad Ammar Muhammad Badrul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian.
Bapanya Muhammad Badrul Remli yang berusia 31 tahun berkata sejak jantung anaknya terhenti selama 14 minit pagi semalam, mereka sekeluarga tidak berganjak dari sisi katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPUSM.
“Sehingga hari ini, Ammar masih bergantung kepada mesin sokongan hayat, namun Allah lebih menyayanginya apabila dia pergi meninggalkan kami pada petang ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata keluarga tidak pernah berhenti membacakan surah Yasin dan melakukan solat hajat sepanjang Ammar dirawat dan kini reda dengan pemergiannya.
Sementara itu, Muhammad Badrul turut membuat hantaran status WhatsApp dengan tulisan ‘Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar da kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan al-Fatihah’.
Beliau berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anaknya sepanjang seminggu mendapatkan rawatan sejak kejadian malang itu.
Menurut Muhammad Badrul, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor di Jelawat, Bachok dan dijangka malam ini.
Pada Khamis lepas, seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul sehingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat telah ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi di Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan mati tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari rumah kedai berkenaan.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara kanak-kanak itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama