Jangka hayat Malaysia meningkat 75.3 tahun pada 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR: Jangkaan hayat penduduk Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan bayi yang dilahirkan pada tahun 2025 dijangka hidup sehingga 75.3 tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bayi perempuan yang lahir pada 2025 dijangka hidup hingga 77.9 tahun manakala bayi lelaki dijangka hidup sehingga 73.1 tahun.

“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2023 hingga 2025 dicatatkan di Selangor manakala Terengganu merekodkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh sama,“ katanya.

Empat negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi paras nasional pada 2025 ialah Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Labuan.

Daerah Samarahan di Sarawak mencatat jangkaan hayat ketika lahir tertinggi pada 2025 iaitu 80.9 tahun manakala Kanowit, Sarawak merekodkan jangkaan hayat terendah pada 66.5 tahun.

Secara keseluruhan, 30 daripada 156 daerah di Malaysia melepasi jangka hayat pada peringkat nasional.

Jangkaan hayat ketika lahir mencatat peningkatan sebanyak 1.3 tahun pada 2023 hingga 2025 berbanding tempoh 2020 hingga 2022.

Etnik Cina merekodkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi pada 2025 iaitu 77.3 tahun manakala etnik India mencatat jangkaan hayat terendah pada 71.8 tahun.

Seorang lelaki yang mencapai umur 60 tahun pada 2025 dijangka hidup hingga 78.8 tahun manakala wanita dalam kumpulan umur sama dijangka hidup hingga 81.6 tahun.

DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 sempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025.

Kerajaan mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *