PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif Keep Malaysia Clean sebagai platform strategik menggerakkan masyarakat membina budaya civic-minded society yang menolak rasuah.
Inisiatif ini akan melibatkan masyarakat dari peringkat prasekolah hingga ke alam pekerjaan untuk membina budaya menolak rasuah secara menyeluruh.
Anwar berkata Keep Malaysia Clean bakal mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dan bermaruah.
“Keep Malaysia Clean bersama SPRM itu sesuatu yang amat mendalam, berkesan dan berani untuk mengembalikan imej unggul Malaysia sebagai sebuah negara hebat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-58.
Keep Malaysia Clean merupakan pelan induk nasional yang dirangka SPRM bersama Panel Perundingan Pencegahan Rasuah yang diketuai Datin Yasmin Ahmad Merican.
Inisiatif ini dilahirkan berasaskan aspirasi negara untuk memupuk budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Platform ini akan berpaksikan tiga tonggak utama iaitu Nilai Murni, Masyarakat Murni dan Alam Murni.
Ia merupakan seruan kepada rakyat untuk menegakkan integriti dalam setiap pilihan harian dan memilih jalan yang benar.
Yasmin berkata Keep Malaysia Clean bukan pendekatan baharu dalam pencegahan rasuah tetapi platform kebangsaan yang melengkapi inisiatif sedia ada.
“Program ini akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan aspek Kesedaran, Tindakan dan Kelestarian untuk menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Perkembangan program ini akan dipantau secara bebas oleh Panel Perundingan Pencegahan Rasuah dengan pelaporan tahunan yang telus.
Kejayaan Keep Malaysia Clean akan diukur melalui penglibatan aktif, pemilikan bersama komuniti serta perubahan jangka panjang ke arah budaya integriti nasional.
Usaha kolektif ini diharapkan dapat menyumbang secara positif kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Indeks Persepsi Rasuah Malaysia pada masa ini masih berada di pertengahan tangga penilaian kepercayaan global. – Bernama