ISTANBUL: Global Sumud Flotilla yang belayar bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza pada Selasa mengumumkan bahawa kapal-kapalnya kini berada kurang 160 batu nautika dari wilayah yang dikepung itu.
Flotilla ini dijangka akan memasuki zon berisiko tinggi pada malam ini menurut kenyataan rasmi mereka.
“Kami kini berada kurang 160 batu nautika dari Gaza, 10 batu nautika dari zon berisiko tinggi,” menurut kenyataan flotila di platform Instagram.
Wartawan Al Jazeera yang berada di atas kapal melaporkan bahawa dron pengintip tidak dikenali turut dikesan di kawasan pelayaran flotila.
Aktivis Turkiye Muhammed Salih mengesahkan sebuah kapal tentera laut Israel dikesan pada jarak 80 kilometer dari Global Sumud Flotilla.
“Kami menjangkakan kemungkinan pemintasan atau serangan Israel malam ini atau malam esok,” katanya ketika bercakap dari kapal layar Adagio.
Salih menambah bahawa besar kemungkinan serangan akan berlaku pada malam ini berdasarkan situasi semasa.
“Kami berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dengan semua orang sudah memakai jaket keselamatan,” jelasnya dalam rakaman video Instagram.
Penganjur flotilla itu mengeluarkan amaran kritikal dengan menyeru perhatian masyarakat antarabangsa.
Mereka menegaskan bahawa keselamatan mereka bergantung kepada dunia yang memerhati perkembangan ini.
Penganjur menyatakan petugas dan aktivis di seluruh dunia sedang bersiap sedia menggerakkan mobilisasi besar-besaran sebagai tanda solidariti.
Mereka juga menuntut laluan selamat bagi flotila itu untuk meneruskan misi kemanusiaan.
“Serangan terhadap flotila adalah serangan terhadap Palestin,” menurut kenyataan rasmi flotilla.
Mereka menggesa penyokong global menyebarkan mesej dan menentang genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Flotila berkenaan membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa untuk memecahkan sekatan Israel.
Sekatan ini telah berlangsung sejak bertahun-tahun dan semakin memburukkan kehidupan penduduk Gaza. – Bernama-Anadolu