Bekas Panglima Angkatan Tentera Tun Dr Mohamed Hashim meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali telah meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada pukul 11.52 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun.

Perkara itu telah disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar kepada Bernama.

Allahyarham merupakan adik kepada Tun Dr Siti Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau telah dimasukkan ke wad kecemasan pada Ahad lepas kerana mengalami pendarahan di kepala.

Mohd Nizam berkata jenazah akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah di Sungai Besi.

Jenazah akan disemadikan dengan penuh adat istiadat ketenteraan.

“Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,“ katanya.

Mohd Nizam berkata beliau pernah menjadi aide-de-camp atau juruiring kepada Mohamed Hashim sebelum Allahyarham bersara.

Mohamed Hashim menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1957 dengan menggalas pelbagai jawatan penting.

Beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada tahun 1985 dan kemudian sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-9 pada tahun 1987.

Allahyarham bersara daripada perkhidmatan tentera pada April 1992.

Menurut Markas ATM, Allahyarham merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

Beliau kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1955.

Selepas menamatkan perkhidmatan tentera, Allahyarham yang lahir di Ipoh, Perak kekal aktif dalam sektor korporat dan pendidikan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Bumiputra-Commerce Holdings Berhad.

Ketokohan Allahyarham turut diiktiraf dengan penganugerahan pelbagai pingat kebesaran termasuk Darjah Seri Setia Mahkota.

Beliau dikurniakan gelaran Tun pada tahun 2022.

Mohamed Hashim juga memainkan peranan penting dalam penganjuran Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di ibu negara.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif pada tahun 1992 sebelum dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif temasya sukan itu dari 1997 hingga 1999. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *