67 pengamal media Johor sertai cabaran kurus sihat KMJ 2025

JOHOR BAHRU: Seramai 67 pengamal media Johor telah menyahut cabaran KMJ Weight Challenge 2025 anjuran Kelab Media Johor dalam usaha menggalakkan gaya hidup lebih sihat.

Program selama tiga bulan ini bermula dengan sesi pemeriksaan kesihatan seperti berat badan, tekanan darah, ujian darah, pemeriksaan mata dan pengiraan Indeks Jisim Badan di KPJ Puteri Specialist Hospital.

Presiden KMJ Fauzi Ishak berkata objektif utama program tersebut bukan semata-mata untuk tampil kurus tetapi bagi meningkatkan stamina dan kesihatan tubuh badan.

“Kebelakangan ini ada rakan media yang pengsan ketika bertugas, jadi dari situlah datangnya ilham untuk menganjurkan program ini,“ katanya ketika ditemui Bernama.

Fauzi menekankan bahawa kekalahan atau kemenangan bukan perkara utama tetapi matlamatnya adalah untuk memastikan pengamal media lebih sihat sesuai dengan kerja lapangan mereka.

Wartawan China Press Ng Zhen Wei, 37, berkata pengalaman menyertai program cabaran kurus kali ini lebih menyeronokkan kerana dilakukan secara beramai-ramai.

“Saya pernah diet sebelum ini, tapi kali ini lagi seronok sebab ramai-ramai ada sasaran untuk capai berat ideal,“ katanya.

Wartawan Utusan Malaysia Masturah Suradi, 36, menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai peluang untuk menjaga kesihatan dalaman.

“Mungkin saya nampak kurus, tapi saya mahu paras kolesterol saya normal dan hidup lebih sihat,“ katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Pakar Pemakanan KPJ Puteri Specialist Hospital Nur Hafizah Abdul Hadi berkata kesihatan seseorang individu tidak seharusnya dinilai dari sudut gemuk atau kurus sahaja.

“Ada yang kurus tetapi kadar lemak badan tinggi dan apa yang kita perlukan ialah otot kerana ia membantu metabolisme,“ jelasnya.

Beliau menekankan bahawa untuk sihat, pemakanan menyumbang 80 peratus manakala senaman 20 peratus jadi kedua-duanya mesti seimbang.

Namun katanya cabaran terbesar rakyat Malaysia untuk kekal sihat ialah kepelbagaian makanan di negara ini yang dianggap sebagai “syurga makanan”.

KMJ Weight Challenge 2025 menyediakan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir 3,000 ringgit untuk 13 peserta terbaik.

Juara program ini akan menerima 700 ringgit, naib juara 500 ringgit dan tempat ketiga 300 ringgit.

Terdapat juga kategori khas Most Outstanding Participant yang menawarkan hadiah 500 ringgit, 300 ringgit dan 200 ringgit kepada tiga peserta terbaik. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *