Syarikat pengimport rokok, pengarah didenda RM2.08 juta guna cap dagangan tanpa kelulusan

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pengimport rokok keretek dan pengarahnya dijatuhi hukuman denda berjumlah RM2.08 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kelulusan untuk 520,000 kotak rokok jenama ‘JOHN’.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Roslan Abu Bakar, 61, selaku Orang Kena Saman dan syarikat Ramunas Sdn Bhd di akhir kes pembelaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melebihi keraguan munasabah,“ kata Rasyihah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadap syarikat Ramunas sebanyak RM1.56 juta dan RM520,000 ke atas Roslan serta penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

Jumlah denda keseluruhan ialah RM2.08 juta.

Sebanyak 13 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk Orang Kena Saman memberi keterangan dalam perbicaraan kes bermula pada 2021.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua ekshibit iaitu 520,000 kotak rokok jenama ‘JOHN’ dilucutkan hak kepada kerajaan untuk dilupuskan selaras dengan Seksyen 127 Akta Cap Dagangan 2019.

Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa sebagai pengarah syarikat Ramunas, mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan ke atas 520,000 kotak rokok jenama ‘JOHN’ yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor pada 11.10 pagi, 21 Oktober 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Syarikat Ramunas pula didakwa mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan ke atas barangan sama pada lokasi, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 102(1)(c) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani manakala peguam R.Janeni Devi mewakili Orang Kena Saman dan syarikat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *