Selangor hantar pegawai ke China belajar operasi tenaga nuklear

PELABUHAN KLANG: Selangor akan menghantar pegawai ke China bagi mempelajari pengoperasian penjanaan tenaga berasaskan nuklear sebagai sebahagian pelan bekalan tenaga mesra alam atau boleh diperbaharui di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan pelan itu akan dimulakan dengan pembangunan sumber manusia iaitu menghantar pegawai atau bakat ke Tsinghua University, Beijing dengan sebahagian pembiayaan pengajian ditaja kerajaan negeri.

“Ia masih (di peringkat) awal melihat kemungkinan (Selangor) menggunakan kuasa nuklear bagi menjana tenaga tapi kita mulakan dengan modal insan dahulu.

“Kita akan mula dengan hantar tiga ke empat pegawai, bakat dari Selangor…yang kita rasa sesuai untuk hantar ke sana.

Ketika ini ada enam pelajar Malaysia di sana sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Amirudin berkata usaha berkenaan akan dimasukkan dalam inisiatif Belanjawan Negeri 2026 dan dijangka bakat berkenaan akan dihantar pada Mac tahun hadapan.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran PIPP oleh Fadillah sebagai simbolik pengoperasian loji berkenaan yang sudah bermula sejak 1 Mac lepas.

Amirudin berkata projek PIPP merupakan penanda aras penting apabila ia merupakan pelaburan langsung asing pertama dari Korea Selatan menerusi Korea Electric Power Corporation (KEPCO) dengan keseluruhan kos projek bernilai lebih RM3 bilion.

Katanya PIPP yang menggunakan pembakaran gas asli adalah antara sumber tenaga bersih dan sebahagian daripada perancangan negeri ke arah penjanaan tenaga hijau atau boleh diperbaharui.

“Bagi PIPP, ia dijangka menjana pendapatan RM1.6 juta hingga RM2 juta.

“Ia juga menawarkan bekalan tenaga kepada perindustrian pada tarif yang lebih kompetitif.

“Di masa hadapan kita ada solar, kita juga ada projek hidro mini di Batang Kali, selepas ini sisa ke tenaga (WTE).

Itu adalah transisi yang lebih baik daripada arang batu dan kita akan terus mencari sumber tenaga sebaiknya,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *