KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir tidak pernah menjerit atau menangis sebelum bertemu dengan pelajar senior susulan insiden kecurian di asrama pada 15 Julai lepas.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang remaja dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi memaklumkan remaja itu kelihatan terganggu selepas berjumpa pelajar senior dan berbaring di lantai sambil menangis di depan almari.
Ram Singh berkata saksi kelapan itu memaklumkan Zara Qairina juga berteriak sambil menafikan bahawa dia mencuri.
“Saksi tidak tahu bagaimana kejadian Zara Qairina berjumpa dengan pelajar senior kerana tidak pergi ke bilik berkenaan,“ katanya.
Saksi juga memberitahu pelajar senior tersebut tidak pernah berjumpa Zara Qairina sebelum itu.
Ram Singh berkata remaja itu memaklumkan Zara Qairina tidak pernah mengadu tentang masalah persendirian atau berkonflik dengan sesiapa.
Saksi juga tidak pernah melihat Zara Qairina dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain di sekolah.
“Saksi memberitahu tidak pernah nampak mana-mana pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara Qairina,“ katanya.
Ram Singh berkata saksi turut memaklumkan Zara Qairina pernah bertanya sama ada dia akan berasa sedih jika remaja tersebut terjun dari tingkat tiga.
“Kata saksi, mereka berdua berada di hadapan bilik dan Zara Qairina melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung,“ katanya.
Kejadian itu berlaku sekitar April 2025.
Peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Allahyarham berkata saksi ketujuh memaklumkan pada malam 15 Julai, Zara Qairina mengetuk pintu bilik dan memberi salam.
Rizwandean berkata Zara Qairina kelihatan dalam keadaan takut ketika meminta izin masuk untuk berjumpa seorang pelajar mengenai kes kecurian.
“Saksi memaklumkan empat pelajar lain masuk ke dalam bilik tersebut dan seorang daripada mereka memarahi Zara Qairina dengan nada kuat,“ katanya.
Pelajar tersebut berteriak menggunakan kata-kata kesat terhadap Zara Qairina.
“Menurut saksi, pelajar-pelajar yang memarahi Zara Qairina pada masa itu adalah garang,“ katanya.
Pelajar lain yang berada di bilik tersebut tidak berani menenangkan Zara Qairina yang menangis.
Saksi turut memaklumkan rakan bilik Zara Qairina telah memeriksa loker remaja itu dan menjumpai pin bendera milik seorang pelajar.
Penemuan pin bendera tersebut menyebabkan pelajar terbabit sangat marah.
Peguam itu berkata saksi juga memaklumkan Zara Qairina adalah seorang pelajar yang ceria dan suka bercakap.
Zara Qairina sering menegur pelajar lain secara baik dan menyimpan hasrat untuk menjadi ahli Badan Dakwah dan Rohani.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Setakat ini, 16 saksi termasuk lapan kanak-kanak telah memberi keterangan.
Prosiding inkues bersambung Selasa depan. – Bernama