KUCHING: Pelaksanaan hari pertama Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi dan inisiatif BUDI MADANI RON95 di Sarawak berjalan lancar setakat ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Sarawak Matthew Dominic Brian berkata pihaknya telah melakukan pemantauan di stesen minyak di seluruh negeri itu.
Beliau berkata tiada sebarang aduan diterima daripada orang ramai mengenai pelaksanaan sistem baharu tersebut.
KPDN juga membuka kaunter SKPS di semua cawangan di Sarawak bagi memberikan penerangan serta bantuan kepada pemohon.
Pegawai penguat kuasa turut digerakkan untuk membantu orang ramai dalam proses permohonan dan pelaksanaan sistem tersebut.
Matthew berkata pihaknya akan memastikan SKPS dilaksanakan dengan lancar di seluruh negeri.
Pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di setiap stesen minyak di seluruh Sarawak untuk membuat pemantauan rapi.
Beliau berkata KPDN akan melakukan pemeriksaan harian bagi mengelakkan ketirisan dan penyelewengan.
Pemantauan ketat akan memastikan petrol RON95 tidak diisi oleh pihak tidak layak khususnya warga asing.
Matthew menyeru semua pengusaha stesen minyak agar mematuhi peraturan serta menjalankan operasi secara berhemah dan beretika.
Pemantauan akan dilakukan setiap hari bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap garis panduan yang ditetapkan. – Bernama