Pelaksanaan BUDI95 lancar di 275 stesen minyak Pahang, pengguna berpuas hati

KUANTAN: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di 275 stesen minyak pelbagai jenama di seluruh Pahang berjalan lancar setakat 1.30 tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata kebanyakan pengguna yang ditemui berpuas hati dengan inisiatif kerajaan itu.

“Hanya aduan kecil melibatkan penggunaan kad pengenalan untuk pembelian tetapi itu akan dapat ditangani apabila pengguna terbiasa dengan kaedah itu kelak.

“Saya ingin mengingatkan mereka jangan jadikan penggunaan kad pengenalan satu masalah kerana ia keistimewaan sebagai rakyat Malaysia,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau lapan stesen minyak sekitar bandar ini.

Sim berkata pengusaha stesen minyak perlu memastikan petugas sentiasa bersedia di kawasan mengisi minyak untuk membantu pelanggan bagi melancarkan urusan mereka.

Sementara itu, pekerja swasta Chan Boon Ho, 39, ketika ditemui pemberita berkata beliau memilih untuk memanfaatkan inisiatif tersebut dengan pembelian menggunakan e-dompet.

Beliau berkata kaedah itu tidak perlu mengeluarkan kad pengenalan dan pembelian dapat dilakukan dengan pantas serta lancar.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu.

Inisiatif ini disusuli lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada 28 September.

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak pula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 hari ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *