KPDN tingkatkan pemantauan stesen minyak dekat sempadan Johor-Singapura

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperketat pemantauan di stesen minyak khususnya berhampiran sempadan Johor-Singapura bagi mengelakkan kenderaan asing mengisi petrol RON95.

Penguatkuasaan ini susulan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 yang hanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan rawak secara berkala walaupun berdepan kekangan jumlah penguat kuasa yang terhad.

Beliau menegaskan pengusaha stesen minyak perlu bertanggungjawab memastikan hanya kenderaan tempatan dibenarkan mengisi RON95.

“Jika kenderaan asing hadir, mereka mesti diarahkan mengisi RON97,“ katanya kepada media selepas sesi pemeriksaan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol.

Lilis Saslinda memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha yang cuai atau sengaja membenarkan penyelewengan berlaku.

Beliau berkata rakyat negara jiran seperti Singapura sudah maklum bahawa mereka tidak layak mengisi RON95.

KPDN Johor berharap pengusaha stesen minyak tidak mengambil mudah perkara ini demi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran.

Kementerian itu juga akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan bermula esok hingga 7 Oktober ini.

Program tersebut bertujuan memberi penerangan serta memudah cara pendaftaran subsidi SKPS kepada golongan sasar.

Antara golongan sasar termasuk syarikat logistik, pengusaha teksi, kereta sewa dan van sekolah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *