KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebuah kapal tunda serta 47,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1.7 juta dalam Ops Tiris di jeti berhampiran Sungai Kuang, Kemaman.
Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata lapan lelaki warga Indonesia berusia 20-an hingga 60-an dipercayai pekerja kapal turut ditahan bagi membantu siasatan dalam operasi pukul 3.45 pagi Sabtu lepas.
Beliau berkata pihaknya menjalankan risikan selama lima bulan bagi mengesan sindiket yang membeli minyak diesel daripada kapal di perairan Laut China Selatan serta kapal yang berlabuh di jeti.
“Sindiket ini membeli minyak diesel daripada kapal di Laut China Selatan dan di jeti menggunakan paip getah serta pam kargo, sebelum dijual di pasaran gelap,“ katanya ketika ditemui pada Program Pelupusan Eksibit Perdana KPDN Terengganu.
Enam pegawai KPDN bersama lapan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Pemeriksaan turut menemui tiga tangki penimbang kapal yang sepatutnya berisi air, namun diubah suai untuk menyembunyikan diesel.
Kapal terbabit juga tidak memiliki sebarang lesen atau permit daripada pegawai bekalan untuk menyimpan atau berurus niaga barang kawalan.
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-dua sekali.
Dalam perkembangan lain, program pelupusan eksibit melibatkan pelbagai barang rampasan bernilai RM205,154.60 sepanjang tempoh 2023 hingga tahun ini.
“Antara barangan yang dilupuskan termasuk lori tangki, alat timbang, pakaian, beg, kasut tiruan serta aksesori telefon, selepas melalui prosiding mahkamah atau tindakan kompaun,“ katanya.
Kesemua eksibit dilupuskan bagi memastikan ia tidak kembali ke pasaran sekali gus tidak memberi manfaat kepada pihak yang melakukan kesalahan. – Bernama